Monday, April 19, 2010

Kezaliman Bukan tentang Tidak Dapat Makan dan Minum Sahaja

Perkataan zalim berasal daripada kata dalam bahasa Arab. Dalam bahasa itu, kata zalim disebut sebagai zolim. Kata zalim bermaksud “tidak berperikemanusiaan, tidak adil, bengis, kejam”. Kata zalim menerbitkan juga kata menzalimi yang bermaksud “menindas; menganiaya; berbuat sewenang-wenang”.

Kata zalim dan menzalimi perlu difahami apabila pemimpin yang kita harap-harapkan menyempitkan maksudnya seperti yang berikut:

“Kalau ada pihak yang mengatakan kerajaan BN menzalimi rakyat seperti yang disebut Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata kita tak beri perhatian kepada nasib rakyat, adakah penduduk di Hulu Selangor ini mati tak makan?”

Kemudian beliau berkata,

“Kalau kita sudah zalimi rakyat, sudah banyak rakyat keluar beramai-ramai berarak seperti di negara jiran, mereka akan sengsara, tidak makan, tidak minum. Siapa rakyat yang ada di Hulu Selangor ini mati kebuluran kerana dizalimi oleh kerajaan BN? Kalau ada beritahu saya, saya akan bantu.”

Demikianlah ucapan YAB TPM kita seperti yang dilaporkan oleh Bernama yang turut disiarkan dalam akhbar-akhbar arus perdana dan juga Malaysian Insider. Saya berasa agak dukacita dengan ucapan beliau itu. Jika hendak beretorik, janganlah sampai menjadikan rakyat kelihatan tidak cerdik.

Kata menzalimi yang diguna pakai oleh YAB TPM itu, seperti yang saya jelaskan, bermaksud “menindas; menganiaya; berbuat sewenang-wenang”. Hendak membuktikan kerajaan menindas, menganiaya; berbuat sewenang-wenang (menzalimi) rakyat, bukanlah sukar sangat.

Deretan plaza tol yang tegak berdiri hampir di seluruh negara adalah antara contoh penindasan. Mengapa? Kerana pengguna (rakyat) masih perlu mengeluarkan bayaran di plaza tol walaupun sebelum membuat bayaran tol, jem sudah menanti di hadapan!

Rakyat juga terpaksa membayar harga petrol yang tinggi walaupun kita pengeluar sumber tenaga itu. Bukankah hal ini suatu bentuk kezaliman?

Kita juga terpaksa mengeluarkan harga yang lebih tinggi untuk sesuatu barangan kerana berlaku kenaikan harga barangan yang berterusan. Kenaikan ini lambat-laun akan menyebabkan orang tidak mampu untuk membeli barangan lalu seperti yang digambarkan beliau, akan berlaku kebuluran. (Ingat, walau hanya ada seorang sahaja rakyat yang hidup menderita – kais pagi, makan petang; kais petang, makan malam – kerajaan sudah dikira sebagai zalim!) Tontonlah rancangan Bersamamu di TV3! Kita pasti dapat melihat kezaliman seperti yang didefinisikan oleh YAB TPM.

Selain itu, banyak anak kita yang tidak memperoleh keputusan yang cemerlang dalam subjek Sains dan Matematik. Malah, bukan sedikit jumlahnya yang tidak memahami sesuatu konsep dalam subjek-subjek itu. Mengapakah hal ini berlaku? Kerana kerajaan bertindak mengajarkan subjek itu dalam bahasa Inggeris. Menafikan rakyat untuk belajar sesuatu dalam bahasa mereka, menyekat rakyat untuk mencapai kejayaan, bukankah suatu bentuk kezaliman?

Banyak lagi “tingkah laku” kerajaan yang menggambarkan kezaliman. Oleh hal yang demikian, beliau harus memahami maksud kezaliman dalam skop yang sebenar-benarnya kerana kezaliman bukan berkait hal-hal tidak cukup makan dan tidak cukup minum sahaja.

2 comments:

  1. Salam, tuan. Catatan tuan ini menarik. Hakikatnya, kita juga sudah menzalimi diri dan keturunan kita kerana mengangkat orang yang zalim sebagai ketua. :(

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Itulah yang saya kenang-kenangkan, terutamanya apabila mendengar ceramah Ustaz Dato' Ismail Kamus tentang hal ini. Tangan kita yang memangkah, jadi kita bertanggungjawab penuh terhadap pilihan kita itu. Semoga Allah memberi kita keampunan-Nya.

    ReplyDelete