Tuesday, April 27, 2010

Mujur Kita Tidak Hidup pada Zaman Raja-raja Dahulukala

Senator Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin telah membuat cadangan kepada kerajaan supaya menggugurkan kerakyatan individu yang menentang dan menghina sultan-sultan atau raja-raja Melayu. Hal ini demikian kerana beliau berpendapat bahawa perbuatan itu bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan negara.

“Kalau zaman dahulu, sebelum ada mahkamah dan polis, kalau ada orang yang menghina dan menentang raja akan dihukum pancung, tapi sekarang ini kita tidaklah melaksanakan (hukuman) pancung kerana kita ada undang-undang, mahkamah, dan polis.

“Oleh itu, saya cadangkan kerajaan menggugurkan kerakyatan mereka yang menghina dan menentang sultan dan raja-raja Melayu kerana tidak ada gunanya rakyat yang tidak menghormati pemerintah negara,” kata beliau lagi.

Mujur kita tidak hidup pada zaman raja-raja dahulukala. Dan, bagaimanakah agaknya kalau Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin ini menjadi Perdana Menteri atau Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri! Barangkali banyak rakyat negara ini yang akan bernegarakan negara lain.

Tidak mahukah beliau memberikan cadangan agar polis-polis, tentera-tentera, dan kastam-kastam yang menyalahgunakan kuasa dilucutkan kewarganegaraan mereka kerana polis-polis, tentera-tentera, dan kastam-kastam seperti ini telah mencemari nama raja seperti yang terpakai pada nama institusi-institusi itu – Polis Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (dll), dan Kastam Diraja Malaysia? Erghhh!

5 comments:

  1. Salam, tuan.
    Jikalau ditakdirkan saya hidup pada zaman kerajaan 'beraja di mata, bersultan di hati', pasti sudah lama saya dihukum pancung! Hehehee

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Sayanglah kalau orang-orang intelektual macam Cikgu dihukum demikian. Tapi, mereka bukan kira, kan? Tengoklah apa jadi dengan pemberi idea dalam insiden ikan todak menyerang Singapura? Hm, susu yang diberi, tuba yang dibalas.

    ReplyDelete
  3. Hakikatnya saya sangat kecewa apabila pemimpin tidak boleh ditegur. Itulah sikap mereka dari 'zaman kapal layar' sehingga 'zaman kapal selam tidak boleh menyelam' sekarang ini. Betapa benarnya masjid itu digunakan untuk semua aktiviti umat Islam. Sayangnya, umat Islam hari ini enggan mengimarahkan masjid hinggakan majlis pernikahan pun diadakan di rumah sahaja. Keberkatan masjid semakin dilupakan. Namun apakan daya, alangkan fatwa ulama pun tidak dihiraukan, inikan pula kata-kata daripada musuh politik mereka. Menegur dianggap menentang. Menentang dianggap menghina dan menderhaka. Hakikatnya, mereka itu manusia biasa yang tiada lebihnya di mana-mana (melainkan iman kepada Allah).

    p/s: maaf kerana membebel panjang, saya sekadar ingin mengubat hati yang sangat kecewa... :(

    ReplyDelete
  4. Salam, Cikgu;
    Kadang-kadang saya sampai berangan-angan hendak menjadi Sultan (hi, hi). Bukan hendakkan kuasa tetapi hendak mencantikkan Islam. Lihatlah di Selangor. Pengarah JAIS tidak boleh diusik kerana di bawah bidang kuasa Sultan. Hal ini menjadikan Pengarah itu seperti sangat berkuasa. Masjid/Surau, seperti kata Cikgu, tidak boleh "disalahgunakan" sedangkan di situlah sumber segala ilmu. Kasihan saya kepada umat Islam di Selangor kerana tidak sempat memperoleh ilmu daripada TG Nik Aziz semata-mata beliau di pihak PAS.

    ReplyDelete
  5. Ya, benar. Kadangkala terasa lucu pula apabila ada yang mengatakan 'jangan campur adukkan politik dengan agama'. Agama itu adddin. Addin itu cara hidup. Kita tidak mungkin 'membuang' agama walau sesaat pun dalam hidup kita - termasuklah ketika berpolitik - melainkan kita murtad. Adakah mereka itu menganut athies (tiada agama) ketika berpolitik? Ironi...

    ReplyDelete