Tuesday, March 1, 2011

Berhati-hatilah: Para Penjahat Banyak Helahnya

Seorang rakan mengirimkan emel kepada saya. Emel itu menceritakan pengalaman yang ditempuhi oleh seseorang (tidak pasti saya sama ada orang itu lelaki atau perempuan dan tidak tahu saya di manakah lokasi berlakunya peristiwa itu).

Menurut orang itu, dia (bersendirian) memandu kereta di sebatang jalan yang agak sunyi. Di suatu tempat berumput dan agak semak, terlihat olehnya sebuah kerusi kenderaan untuk bayi. Terdapat satu objek berselimut (mungkin bayi) di dalam kerusi itu.

Walau bagaimanapun, entah mengapa, hatinya langsung tidak terdorong untuk berhenti bagi menyiasat hal yang sebenarnya. Sebaliknya, dia meneruskan pemanduannya hingga tiba di sebuah balai polis.

Dia singgah di balai polis itu lalu memaklumkan pengalaman yang ditempuhnya kepada pegawai yang bertugas. Pegawai itu memuji tindakan orang itu. Hal ini demikian kerana menurut pegawai itu, pengalaman yang ditempuh oleh orang itu adalah antara helah dan taktik yang digunakan oleh para penjahat untuk melakukan sesuatu terhadap mangsanya.

Para penjahat sengaja meletakkan kerusi bayi atau bakul berisi bayi palsu untuk memperdayakan mangsanya. Kalau mangsa yang berhenti ialah wanita (memang itulah sasaran para penjahat itu kerana wanita mudah tersentuh hati apabila melihat hal seperti itu), mereka berdepan dengan kemungkinan dirogol, dirompak, dan ditinggalkan tanpa pakaian.

Kalau yang berhenti lelaki, mereka bukan sekadar dirompak, malah mereka berdepan dengan kemungkinan dipukul hingga mati. Tempat yang menjadi sasaran mereka ialah pinggir jalan yang sunyi, semak atau berbelukar.

Begitulah antara lain isi emel yang dikirimkan oleh rakan saya itu dan saya sangat menghargainya kerana maklumat ini sangat berguna kepada saya sekeluarga dan mungkin juga kepada para pengunjung Blog ini.

Saya mendapati, para penjahat/penyangak ini sangat bijak memanfaatkan keadaan semasa bagi menjayakan keinginan jahat mereka. Dalam hal ini, mereka memanipulasi kejadian pembuangan bayi yang kerap berlaku di negara kita demi melampiaskan nafsu jahat mereka.

Oleh itu, berhati-hatilah kita dengan helah ini. Berhentilah untuk mengetahui hal yang sebenarnya jika anda berkonvoi atau berada dalam kumpulan sekurang-kurangnya lima orang. Jangan lupa untuk mengawasi keadaan sekeliling. Salah seorang (sebaik-baiknya dua tiga orang) mesti memegang sesuatu (kunci stereng, cota, atau apa-apa sahaja) untuk dijadikan sebagai senjata dan yang seorang lagi menyiasat hal yang sebenarnya.

Kalau anda berkenderaan bersama keluarga dan yang paling dewasa (gagah) hanya anda seorang sedang yang lain-lain hanyalah isteri dan anak-anak anda, maka janganlah anda memberanikan diri untuk berhenti. Begitu juga kalau anda berdua atau bertiga (tidak kira anda lelaki atau wanita), teruskanlah pemanduan anda dan maklumkan hal ini kepada kumpulan penduduk yang terdekat yang anda temui. Yang lebih afdal, maklumkan hal ini kepada pihak polis.

4 comments:

  1. Terima kasih.
    Satu panduan yang bermanfaat.

    ReplyDelete
  2. Salam, Kerol,
    Ingatlah senantiasa dan jangan lupa membaca ayat Kursi setiap kali keluar rumah, pejabat, dan lain-lain.

    ReplyDelete
  3. Masya-Allah! Tidak terfikir pula sampai begitu sekali helahnya... Terima kasih, Tuan Zul. Kisah ini akan saya email kepada semua sahabat...

    ReplyDelete
  4. Salam, Cikgu Marni,
    Mereka ini memang bijak sekali memanfaatkan keadaan untuk dijadikan sebagai peluang.

    Elok sekali diemelkan, untuk pengetahuan bersama.

    ReplyDelete