Wednesday, June 15, 2011

Membangun Negara Berkebajikan: Apa Tu?

Saya bersetuju akan idea Negara Berkebajikan yang dicanangkan oleh pihak PAS, tetapi kawan saya yang memang ahli PAS, sangat jelas kurang bersetuju akan idea itu. Ketidakbersetujuan beliau itu sebenarnya, pada pandangan saya, lebih dipengaruhi oleh keinginan dan ketaasubannya untuk melihat PAS merealisasikan matlamat penubuhan Negara Islam.

Saya berkata kepada beliau bahawa daripada segi politik, idea Negara Berkebajikan itu lebih bagus dan dapat diterima oleh semua kaum (hal ini bukan bermaksud bahawa saya menolak idea Negara Islam itu. Ya, mungkin benar idea itu (Negara Berkebajikan) seperti memperlihatkan kerakusan PAS untuk mengambil alih kedudukan UMNO sebagai parti tunjang orang Melayu. Saya berpendapat bahawa idea Negara Berkebajikan itu merupakan langkah awal untuk merealisasikan penubuhan Negara Islam kerana Islam memang mementingkan kebajikan.

Sama ada masyarakat/rakyat menerima idea itu, belumlah dapat kita pastikan. Untuk memastikan rakyat menerima idea itu, penjelasan bertali arus yang jujur dan tepat perlu dilaksanakan oleh pihak PAS.

Adakah slogan “Membangun Negara Berkebajikan” dapat memainkan peranannya? Belum tentu juga kerana slogan itu menggunakan kata yang salah sehingga maksud dan matlamat slogan itu kabur dan tumpul. Saya berpendapat bahawa kata “membangun” pada slogan itu harus diubah kepada “membangunkan”. Kalau kata membangunkandigunakan, barulah jelas maksud slogan itu. Untuk mengetahui beda makna kedua-dua kata itu, rujuklah kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 123.

Tidak mengapalah kalau kalian menggunakan kata yang tidak tepat dalam pertuturan (rimas juga kalau banyak sangat), tetapi dalam hal slogan, tunjukkanlah kebijaksanaan kalian berbahasa. Tidakkah, agaknya, hal seperti ini menggolongkan kalian sebagai orang yag meminggirkan bahasa Melayu?

2 comments:

  1. As-salam;

    Tuan Editor,

    Dari sudut akademik, kedudukan negara kebajikan merupakan sebahagian dari konotasi negara Islam.
    Namun begitu, apabila PAS mula menumpukan elemen kebajikan dalam perjuangan politik maka isu ini menimbulkan persoalan di mana kedudukan elemen hukum hudud (syariah) dalam perjuangan PAS?

    Dalam hal ini, PAS mungkin mengambil pengajaran dari gerakan Islam di negara-negara Islam khususnya Indonesia dan Turki. Di Turki, The Justice and Development Party (Turkish: Adalet ve Kalkınma Partisi)menumpukan aspek kebajikan rakyat Turki terutama golongan marhean dan menekakan usaha pembasmian rasuah dalam usaha untuk memperolehi dan memelihara kuasa serta mendaulatkan Islam. The Justice and Development Party (Turki) tidak menekankan prinsip menegakkan hudud untuk membolehkan mereka berkuasa.

    Hal yang sama juga jika dilihat di Indonesia khususnya Partai Keadilan Sejahtera yang turut menekankan isu kebajikan dalam usaha meraih sokongan rakyat Indonesia. Secara tidak langsung usaha ini membolehkan mereka memartabatkan Islam.

    ReplyDelete
  2. Salam, Cik Mistree,
    Oleh sebab itulah saya agak bersetuju dengan slogan itu, tetapi saya menantikan juga hudud dilaksanakan.

    ReplyDelete