Tuesday, August 18, 2009

Jamuan Jem: Bilakah Akan Usainya?

Di bandar-bandar raya seperti KL, JB, dan Pulau Pinang, setiap pagi, kalau kita lewat keluar dari rumah, potensi untuk menikmati jamuan jem sangat besar. Tuan-tuan pasti tahu akan hal ini, bukan? Cuma, tidak seperti jamuan-jamuan lain yang sering dihurung orang, jamuan jem yang terhidang hampir pada setiap pagi itu tidak dialu-alukan oleh sesiapa pun. Hal ini demikian kerana jamuan itu memakan masa yang lama untuk dihabiskan, kadangkala berjam-jam sehingga menimbulkan kemarahan orang. Kadang-kadang jamuan jem itu berbayar, tuan!

Kepada yang tidak kedekut duit (simpulan bahasanya “tangkai jering”), mereka akan mencari ikhtiar lain dengan menghindari jamuan jem itu dengan menghalakan kenaikan mereka ke laluan-laluan yang tidak menghidangkan jamuan jem. Tetapi tuan-tuan, kebanyakan laluan itu menyediakan plaza dan pondok yang dinamai sebagai TOL. Tuan-tuan jangan silap, “benda alah” yang namanya TOL itu tidak boleh dimakan. Tuan-tuan boleh bayar saja. Kadang-kadang, selepas membuat bayaran di TOL, jamuan jem disediakan juga!

Laluan yang ada plaza dan pondok TOL ini legasi tokoh terbilang yang apabila ada kenaikan kadar TOL ini, beliau akan membanding-bandingkannya dengan negara-negara lain. Tuan-tuan pasti tahu akan alasan lazimnya. “Kadar TOL kita masih murah berbanding dengan kadar TOL di negara-negara lain!” Hai, macamlah kita ini turut menggunakan TOL di negara lain itu. Beliau ini popular dengan tagline “Di mana ada gula, di situ ada semut; di mana ada jalan, di situ ada TOL”. Rasa saya, tuan-tuan tahu gerangan empunya diri. (Saya berasa kasihan juga kepada tokoh itu, malah tuan-tuan, ada rasa terkilan di dalam hati saya ini kerana sampai sekarang beliau tidak dianugerahi bintang Seri Maharaja Mangku Negara itu. Kalau dianugerahi bintang itu, bolehlah saya dan tuan-tuan memanggilnya “Tun”!)

Tentang jamuan jem itu, cara yang paling mudah untuk menghindarinya ialah keluar awal subuh dari rumah – pukul 5:00 pagi tersangatlah eloknya. Kalau saya yang tinggal di Kajang dijadikan contoh, insya-Allah jam 5:30 saya sudah terpacak di depan pejabat saya di Petaling Jaya. Jamuan jem hanya bermula sekitar jam 7:00 pagi. Cuma kadang-kadang jamuan itu bermula awal, kalau ada adegan cium-mencium buntut. Tapi, terfikir pula dalam kepala otak saya ini, jadah apa saya keluar dari rumah pada jam 5:00 pagi untuk perjalanan sejauh 38 km? Isy!

Itulah, kalau semasa menjadi “setiausaha” ranting parti teraju negara dulu saya aktif macam Ketua Pemudanya, agaknya dapatlah saya menjadi ahli politik. Kalau ada rezeki, dapatlah saya menjadi wakil rakyat, kemudian menjadi menteri. Tuan-tuan pun tahu, bukan, menjadi menteri ini banyak senangnya! Sebabnya? Yalah, walau macam mana banyak sekalipun jamuan jem muncul, tidak kiralah jam 8:00 pagi ke, 12:00 tengah hari ke, 6:00 petang ke, wira-wira berbaju putih akan menyuraikan keadaan. Ngiong, ngiong siren berbunyi; lip lap, lip lap lampu biru berputar-putar di bumbung kereta. Kita meminggir, mereka mencilok-cilok je. Kalau kita yang mencuba untuk mencilok, tahulah nasib badan!

Tetapi saya tidak boleh aktif macam Ketua Pemuda itu. Memang tidak boleh, tuan. Saya (dengan dua orang rakan saya dari ranting taman saya) pernah dibawa ke pemilihan, untuk memilih Ketua Pemuda Bahagian dan jawatan-jawatan yang “sewaktu dengannya”. Selepas itu, ada pula sesi memilih perwakilan ke perhimpunan pemuda peringkat negeri. Saya tidak ikut memilih dalam sesi ini. Saya dan dua orang rakan saya tadi memerhatikan sahaja. Dalam masa orang sibuk mencadangkan si polan si polan sebagai wakil dan yang seorang lagi menyokong cadangan itu, tiba-tiba ada seorang ahli dengan tergesa-gesa mengusulkan cadangan ditutup dan dengan tergesa-gesa juga seorang ahli lain menyokong cadangannya. Sebabnya, wakil-wakil pilihan mereka sudah ada dalam senarai, sedangkan wakil-wakil puak yang sebelah lagi ada sedikit sahaja dalam senarai. Cadangan dan sokongan yang tergesa-gesa itu hampir diterima pengerusi. Berlakulah peristiwa hentak-hentak kerusi ke lantai oleh puak yang sebelah lagi itu. Eh, kata saya dalam hati! Macam ini ke? Kata bersatu! Sejak peristiwa “kecil” itu, saya tidak percaya pada parti-parti lagi. Sekarang saya tidak ada parti waima parti tupperware sekalipun.

Tentang jamuan jem yang kerap berlangsung itu, dulu ada rancangan untuk mewajibkan konsep perkongsian kenaikan yang menjadi "tunggangan" harian kita. Dalam rancangan itu, setiap kenaikan akan berisi dengan empat orang penumpang. Kalaulah rancangan itu menjadi realiti, tuan-tuan tentu dapat membayangkannya. Jamuan jem tidak akan berlaku, insya-Allah! Mengapa? Begini, cuba tuan-tuan bayangkan, kalau sebelum rancangan itu dilaksanakan ada empat buah kenaikan yang setiap satu hanya dinaiki oleh seorang, iaitu pemandunya sahaja. Tetapi, apabila rancangan itu menjadi realiti, akan ada sebuah kenaikan sahaja kerana seorang pemandu akan berkongsi dengan pemandu dari tiga buah kenaikan yang lain. Maknanya, daripada 40 000 buah kenaikan, tinggal 10 000 buah kenaikan sahaja yang berada di jalan raya. Dengan pengurangan sebanyak 30 000 buah kenaikan, tuan-tuan boleh membentang tikar dan permaidani di atas jalan raya! Tetapi, tuan-tuan pun sedia maklum, rancangan itu tidak menjadi realiti.

Alasannya apa? Apa lagi? Tidak praktikallah! Tapi, betulkah tidak praktikal? Sukar untuk saya mempercayainya. Pada hemat saya, rancangan itu dibatalkan kerana pengusaha laluan berTOL tidak akan mendapat kutipan yang menggalakkan. Betulkah demikian? Betul! Bayangkan, daripada 40 000 orang pengguna jalan raya yang berpotensi untuk menghasilkan sesuatu kepada mereka, dengan penguatkuasaan perkongsian kenaikan (empat orang dalam sebuah kenaikan), mereka hanya dapat membuat kutipan daripada 10 000 buah kenaikan sahaja. Kalau sekarang dipraktikkan demikian, daripada RM40 000.00 sepagi yang dapat dikutip di Plaza Tol Lebuh Raya Saga di Batu 9, Cheras, misalnya (kadar tol di situ RM1.00 sehala), mereka hanya dapat mengutip RM10 000.00 sahaja sepagi! Maknanya, dalam satu pagi, pendapatan mereka susut RM30 000.00 di Batu 9 sahaja! Sebulan? Tuan-tuan anggar-anggarkanlah sendiri.

Hakikatnya, perkongsian kenaikan perlu dipraktikkan. Hal ini lebih baik daripada membelanjakan puluhan atau jutaan ringgit untuk membina lebuh raya baharu. Saya yakin, kalau rancangan ini dipraktikkan dahulu, di Lembah Klang ini tidak akan ada Lebuh Raya DUKE, NPE, Kerinci Link, dan lain-lain yang menelan belanja ratusan juta ringgit itu. Wang itu dapat digunakan untuk tujuan lain. Dengan berkongsi kenaikan, rakyat dapat menjimatkan belanja petrol dan tol, kadar penggunaan kenaikan awam akan meningkat (tidak perlulah tambang bas dan teksi dinaikkan selalu), dan yang lebih penting matlamat 1Malaysia yang berslogankan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dapat direalisasikan. Hal ini demikian kerana orang-orang yang tinggal setaman, sekawasan, atau sebandar dapat merapatkan hubungan mereka kerana hendak berkongsi kenaikan.

Atau, jika benar konsep perkongsian kenaikan itu tidak praktikal, fikirkanlah kaedah lain. Salah satu kaedah yang wajar difikirkan adalah dengan memperkenalkan konsep penggiliran kenaikan yang boleh memasuki bandar-bandar raya mengikut hari-hari tertentu. Setiap kenaikan persendirian diasingkan mengikut nombor plat masing-masing. Sebagai contohnya, kenaikan persendirian yang berakhir dengan nombor genap hanya dibenarkan memasuki bandar-bandar raya pada hari Isnin, Rabu, dan Jumaat. Kenaikan yang berakhir dengan nombor ganjil pula hanya dibenarkan memasuki bandar-bandar raya pada hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. Hari Ahad hari bebas kenderaan! Untuk mengelakkan ada pihak yang memalsukan nombor plat kenaikan masing-masing, wajibkan setiap kenaikan “mencetak” nombor kenaikan pada cermin kenaikan masing-masing (dengan kaedah sand blasting). Saya yakin bahawa konsep ini, jika diperkenalkan, akan mengurangkan jamuan jem, memungkinkan setiap individu memiliki lebih daripada satu kenaikan (mungkin menjadikan motosikal sebagai kenaikan kedua), meningkatkan penggunaan kenaikan awam, dan menggalakkan perkongsian kenaikan.

Pengusaha tol akan merungut! Hai, tak kanlah rungutan mereka sahaja yang hendak diambil kira! Kami, rakyat marhaen, sudah lama menderita kerana dijamu jem yang tidak dapat dimakan! Kalian sedap-sedap sahaja mengutip duit kami sedangkan selepas beberapa depa kami kalian paksa makan jem!

7 comments:

  1. Salam.
    Inilah lumrah yang perlu dilalui oleh rakyat, kecuali yang tinggal di kampung. Jarak dari Puchong ke Shah Alam (pada hari Ahad) hanyalah 15 minit tetapi akan bertukar menjadi 45 minit hingga sejam pada hari bekerja. Tol pula RM3.20 untuk laluan pergi dan balik. Muktamad. Mujur juga kerajaan baru di Selangor ini bermurah hati menaik taraf satu 'jalan dalam' supaya kami warga Puchong ini dapat mengelak laluan tol tersebut. Apa pun, jem tetap jem.

    ReplyDelete
  2. Salam.
    Ini baru cerita bab lebuh raya, tol dan jem, belum cerita bab harga kereta yang mahal daripada jiran kita, Thailand, harga petrol yang mahal, dll. Aneh, kita seperti tidak berupaya.

    ReplyDelete
  3. "Tak mahu bayar tol, pakai kereta lumbu sajala. Tak payah bayar tol," itu kata menteri yang itu. Dude, berjuta rakyat Malaysia dengar tu sebab disiarkan pada waktu perdana. Dan dan tu gak gua malu ada menteri macam tu. Gua pun tak dapat nak beza mana menteri, mana 'lumbu'.

    ReplyDelete
  4. Hello, Bro.
    As a politician, dia memang pandai cakap tapi apa-apa yang dicakapnya menampakkan dia tak pandai. Kesian!!! Apabila Awang Selamat keluarkan ucapan Tun Sambanthan tentang kontrak sosial, dia Awang perkauman. Bodoh apa!

    ReplyDelete
  5. Ahah, terlupa pula pada diskaun tol yang diumumkan oleh PM sempena 100 hari pentadbirannya (dibaca: penjajahannya?).

    Diskaun atau lebih tepat rebat akan diberikan kepada pengguna yang melalui tol lebih daripada 80 kali dalam sebulan. Lucunya, seorang 'mak cik' yang ditemu bual di kaca tv dengan bangga berkata "diskaun tol ini akan menjimatkan perbelanjaan dan mengurangkan beban hidup mak cik".

    Soalnya, sedarkah mak cik itu siapa dan berapa ramai yang melalui tol lebih dari 80 kali dalam sebulan? Saya sendiri tidak pasti sama ada mahu ketawa atau menangis ketika pengumuman diskaun tol itu dibuat. Pengumuman dibuat seolah-olah semua pengguna mendapat diskaun, tetapi hakikatnya... yang mudah menggadai kepercayaan pasti akan tertipu.

    ReplyDelete
  6. Cikgu Marni,
    Mak cik tu lalu 180 kali, agaknya. Dan saya rasa, idea pemberian rebat cetusan mantan PM Tun Abdullah semasa kenaikan harga minyak dahulu jauh lebih masuk akal, kan?

    ReplyDelete
  7. Ya, benar. Rebat minyak tahun lalu lebih masuk akal. Kita tunggu apa kata Dato' Shaziman lepas ini (sebab beliau dan PM pernah berjanji bahawa rebat tol itu hanya sementara sebelum pengumuman kadar tol baru dibuat - entah tahun bila).

    ReplyDelete